'4 beranak ini sanggup pinjam motor orang untuk cari aku demi sekampit beras & susu anak' – MFS


Biar terpaksa menebalkan muka meminjam motosikal orang, biar terpaksa merempuh perjalanan jauh, namun besar harapan pasangan ini dapat meminta bantuan dari guru ini agar isteri dan anak-anaknya dapati diberi makan.

Dengan berbekalkan panduan dari Google, mereka empat beranak berhimpit di atas motosikal menuju ke destinasi. Namun di pertengahan jalan, telefon bimbitnya pula kehabisan bateri dan terpaksa singgah sebentar di kedai mamak untuk caj telefon.

SEPASANG suami isteri dari Seri Kembangan sanggup meminjam motor orang untuk mencari aku di Gombak, bawa dua orang anak kecil atas pangkuan demi sekampit beras dan susu anak. Datang ke mari dengan duit di poket cuma RM2.80 sahaja. Itu sahaja yang tersisa. Langsung tiada lagi bakinya.

Aku hulur troli, suruh dia ambil barang keperluan.

“Boleh ke ambil ubat gigi dan sabun mandi cikgu?” soalnya.

Aku anggukkan kepala sahaja. Usai membeli, aku bawa ke Kedai Awe suruh makan. Tapi dia enggan makan di kedai, katanya,

“Tak apa cikgu. Saya bungkus sahaja. Dua orang lagi anak kat rumah mesti lapar tu.”

Rupanya masih ada dua orang anak usia 5 tahun dan 4 tahun di rumah. Kami duduk berdepan, aku nasihatkan dia banyak perkara. Tentang pengurusan kewangan, tentang perlu tinggalkan apa-apa aktiviti tak berfaedah yang membazirkan wang, tentang perlunya merancang keluarga.

Dia kerja di carwash berdekatan dengan rumah dengan gaji purata RM1,500 sebulan. Tiada kenderaan untuk bekerja lebih jauh. Anak pula empat orang. Tinggal di kota raya memang menyesakkan dada. Semuanya mahal.

Aku tak boleh biarkan mereka pulang begitu. Dengan dua orang anak didukungan tanpa helmet pun. Aku panggil Grab dan bayarkan tambang. Isteri dan anak-anak naik Grab, suami follow dengan motor dari belakang.

Hidup ini tidak selamanya kita senang. Kadang bukan kita tidak usaha, namun itu takdir kita. Jika tiada yang peduli, jika tiada yang pesan, jika tiada yang hulurkan bantuan, nasib mereka akan terus terumbang.

Aku tidak mampu bantu semua orang. Namun semua orang mampu membantu seseorang. Sekurang-kurangnya kita cuba membantu sesiapa sahaja tanpa syarat semampu kita. Kita takkan tahu bila pula kita perlukan bantuan orang. Kerana hidup ini penuh dengan rahsia Tuhan. Tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna.

Dana Kita

#MFS



Source link

Add a Comment

Your email address will not be published.