Acer Malaysia Telah Melancarkan Acer Spin 3, Acer TravelMate P614 Bersama Perkenalan 3 Siri Paparan Baru


Acer Malaysia hari ini melancarkan Acer Spin 3 dan TravelMate P614 selain memperkenalkan komputer semua dalam satu Acer Aspire C27-962, projektor Auto Potret LED Acer C250i dan 3 siri paparan Acer yang baru pada harga bermula RM699 sahaja.

Acer Spin 3

Komputer riba ini ditampilkan dengan rekaan yang lebih nipis iaitu 16.8mm dan mempunyai berat hanya 1.5kg dengan engsel yang boleh dilipat sehingga 360 darjah. Dari segi paparannya, ia hadir dengan rekaan paparan sentuh Full HD 14 inci, dengan bezel nipis 7.82mm dengan penawaran nisbah 78% paparan ke badan.

Komputer riba ini dijana dengan pemproses Intel Core generasi ke 10, dan dilengkapi dengan teknologi Wacom AES dengan 4096 tahap tekanan. Ia juga didatangkan dengan 512GB PCIe NVMe SSD dan Acer Active Stylus. Komputer riba ini ditawarkan dengan dua variasi.

Model dengan Intel Core i3 yang hadir dengan storan 8GB RAM dipasarkan pada harga RM3,199 manakala versi Intel Core i3 dengan versi 4GB RAM dijual pada harga RM2699. Kedua-dua variasi ini bakal dipasarkan di Malaysia bermula Mac kelak dan 5 unit pertama yang terjual akan disertakan dengan pembesar suara mudah alih dengan sokongan Bluetooth berjenama Urbanista Sydney yang bernilai RM219.

Acer TravelMate P614

Komputer riba ini disasarkan kepada golongan professional yang sentiasa bergerak. Ia dibangunkan sebagai sebahagian daripada Project Athena yang dikatakan mampu beroperasi selama 20 jam kegunaan serta boleh dilipat sehingga 180 darjah. Ia juga dilengkapi dengan pengecas pantas khas yang boleh dicas semula sehingga 50% dalam masa hanga 45 minit.

Komputer riba ini mempunyai rekaan senipis 16.6mm dan mempunyai berat seringan 1.1kg sahaja. Dari segi spesifikasi, TravelMate P614 ini dilengkapi dengan Intel Core i7 generasi ke-10, memori 8GB DDR4, pilihan kad grafik Nvidia GeForce MX250, dan menyokong pemindahan data sepantas kilat dengan kelajuan sehingga 40Gbps dan menghubungkan sehingga 8k paparan. Di Malaysia, komputer riba ini dijual pada harga RM6,299 untuk model dengan pemproses Intel Core i7 Generasi ke-10 bersama kad grafik NVIDIA GeForce MX250, manakala RM4899 untuk model dengan pemproses Intel Core i5 generasi ke-10, 512GB PCIe NVMe SSD.

Komputer Semua Dalam Satu Acer Aspire C27-962

Selain pelancaran, Acer turut memperkenalkan komputer semua dalam satu Acer Aspire C27-962 yang membawakan rekaan 6.8mm ultra-nipis, port USB 3.1 Gen 1, paparan 27 inci Full HD IPS, dijana dengan pemproses Intel Core i5 generasi ke 10 dengan NVIDIA GeForce MX130. Di Malaysia, peranti ini sudah boleh mula didapati sekarang pada harga RM3499.

Projektor Acer C250i

Ia merupakan sebuah projektor pelbagai sudut yang membawakan rekaan berbentuk seperti silinder yang membolehkannya untuk diletakkan pada pelbagai jenis permukaan untuk memaparkan paparan dengan baik tanpa memerlukan aksesori tambahan seperti tripod. Projektor ini juga merupakan projektor auto potret LED pertama di dunia sekaligus membuatkannya mampu untuk membuat panggilan video dan berkongsi kandungan daripada telefon pintar dengan mudah kerana orientasinya boleh berubah mengikut pergerakkan pengguna.

Peranti ini juga menyokong untuk membuat paparan berdefinisi tinggi 1080p selain menyokong sambungan tanpa wayar untuk peranti peranti Android dan iOS dengan mudah. Pembesar suaranya pula menyokong sambungan Bluetooth dan juga Acer TrueHarmony. Projektor ini mempunyai kapasiti bateri sebesar 9000 mAh dan boleh didapati pada harga RM1699 di pasaran Malaysia.

Satu Paparan 34 Inci, Satu Paparan Predator dan 3 Paparan Bersiri Nitro

Selain memperkenalkan komputer semua dalam satu Acer Aspire C27-962 dan projektor Acer C250i, Acer Malaysia juga turut memperkenalkan satu paparan bersaiz 34 inci yang berharga RM1699, satu paparan baru dibawah siri Predator yang dijual pada harga RM2199, dan 3 paparan baru dibawah siri Nitro.

MODEL CIRI MENARIK HARGA
Acer CB342CK Paparan 34 inci UltraWide QHD RM1699
Predator XB273UGS Paparan 27 inci WQHD1
Kadar segar semula 165Hz
RM2199
Acer Nitro XV340CKP Paparan 34 inci Full HD
Kadar segar semula 144Hz
RM1999
Acer Nitro XV273X Paparan 27 inci Full HD
Lewah jam sehingga 240Hz
RM1499
Acer Nitro XV270P Paparan 27 inci Full HD
Lewah jam sehingga 165Hz
RM899
Acer Nitro XV270P Paparan 24 inci Full HD
Lewah jam sehingga 165Hz
RM699



Acer Malaysia Telah Melancarkan Acer Spin 3, Acer TravelMate P614 Bersama Perkenalan 3 Siri Paparan Baru

Add a Comment

Your email address will not be published.