Ditolak Real Madrid Kerana Beckham, Ronaldinho Jadi Fenomena Barcelona & YouTuber Sukan Pertama Di Dunia

Masihkah anda ingat detik dan ketika Ronaldinho menyertai Barcelona?

Selepas membantu  negaranya Brazil menjuarai Piala Dunia pada 2002, khabar angin Ronaldinho bakal ke Sepanyol semakin bertiup kencang.

Pada ketika itu, ia sama ada ke Real Madrid atau Barcelona.

Pada 2003 akhirnya Ronaldinho diumumkan sebagai pemain di Nao Camp. Real Madrid pula memilih untuk membawa masuk David Beckham, dipercayai kerana nilai komersil kapten England tersebut.

Dengan kata lain, Ronaldinho dilihat sebagai pemain yang tidak sesegak Beckham. Apatah lagi pemain yang tiba dari Manchester United itu tiba dengan isterinya yang merupakan anggota kumpulan pop terkenal, Spice Girl iaitu Victoria.

Walaupun bukan pilihan Real Madrid atas sebab komersil, Ronaldinho membuktikan aksi di atas padang mampu memberikan pulangan yang setimpal buat Barcelona.

Impak segera di Barcelona

Gol pertama Ronaldinho untuk gergasi Catalan ini cukup memukau.

Ronaldinho mulai menggelecek daripada bahagian tengah padang, menewaskan dua pemain Sevilla, sebelum melepaskan rembatan deras yang mengena bahagian atas palang gol sebelum menerjah masuk.

Anda tidak boleh menyalahkan Frank Rijkaard – pengurus Barcelona pada ketika itu – yang meletakkan tangan di atas kepala kerana tergamam melihat jaringan tersebut.

Ia adalah gol sulung daripada Ronaldinho yang menakjubkan buat Barcelona.

Musim pertama bersama Barcelona, bintang Brazil ini memenangi Anugerah Pemain Terbaik FIFA.

Musim berikutnya pula pada 2004/05, pencapaian beliau setakuk lebih baik, dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or, setelah membawa Barcelona menjuarai La Liga buat pertama kali dalam tempoh enam musim.

12 bulan kemudian, Ronaldinho gah pula bersama-sama Barcelona bergelar juara UEFA Champions League.

Di dalam kempen musim yang sama, perancang tengah dan bintang Brazil itu turut tampil sebagai penjaring kedua tebanyak, dan menghasilkan bantuan gol tertinggi di pertandingan elit eropah tersebut.

Ronaldinho ajar Real Madrid

Pada 2005, Ronaldinho menunjukkan kepada Real Madrid apa yang mereka kerugian dua tahun sebelum itu.

Kali ini Ronaldo bersama Barcelona bertandang ke Estadio Santiago Bernabeu untuk berhadapan dengan barisan Galaticos seperti Zinedine Zidane, Ronaldo dan juga Beckham.

Ronaldinho menghadirkan mimpi ngeri yang tidak dilupakan dan akan dikenang sehingga ke hari ini sebagai antara El-Clasico terhebat sepanjang zaman.

Siapa yang tidak akan jatuh hati dengan aksi dipamerkan oleh Ronaldinho?

Walaupun Real Madrid tewas 3-0 dalam pertemuan ini, perlawanan tersebut mencipta sejarah tersendiri apabila Ronaldinho menerima penghormatan (standing ovation) dari penyokong seteru terhebat mereka itu.

Nilai komersil Ronaldinho

Beberapa bulan selepas itu, syarikat jenama sukan terkemuka, Nike memulakan kolaborasi dengan Ronaldinho, dengan menjadikan beliau bintang You Tube.

Ia adalah sebahagian daripada kaedah pengiklanan kasut but oleh syarikat dari Amerika Syarikat itu.

Video tersebut memamaparkan Ronaldinho memperagakan kebolehan teknikal dan skill menimang bola, dan melepaskan rembatan berulang kali ke arah palang gol, tanpa bola menyentuh permukaan padang.

Pada era itu, tidak ramai yang mengenali dan mempunyai akses kepada You Tube. Namun video ini menjadi video pertama yang ditonton sejuta kali buat kali pertama membabitkan personaliti sukan pada ketika itu

Bayangkan jika Ronaldinho merupakan pemain generasi pada hari ini.

Agaknya berapakah capaian yang boleh beliau lakukan dari video ini?

Source link
Ditolak Real Madrid Kerana Beckham, Ronaldinho Jadi Fenomena Barcelona & YouTuber Sukan Pertama Di Dunia

Add a Comment

Your email address will not be published.