Ferrari SF90 Stradale Dilancarkan – Kereta Hibrid 986 Kuasa Kuda


Bila bercakap mengenai kereta berprestasi tinggi, Ferrari ialah jenama yang tidak asing lagi. Ia dipandu oleh hartawan, bangsawan, koruptor dan penjual skim MLM di Malaysia sejak berdekad lamanya. Bagi mereka yang ingin menunjukkan kemewahan sebenar tetapi masih mahu memakai topeng peduli dengan alam sekitar, Ferrari SF90 Stradale telah dilancarkan.

Ferrari SF90 Stradale ialah kereta berkuasa hibrid dengan 986 kuasa kuda. Enjin V8 4 Liter yang digunakan membekalkan 769 kuasa kuda manakala tiga lagi motor elektrik membekalkan 217 kuasa kuda. Dua motor elektrik diletakkan pada bahagian hadapan dan satu lagi motor pada bahagian belakang.
Bateri Lithium yang disertakan hanya mampu memberikan jarak pemanduan maksimum sejauh 25 kilometer pada kelajuan 135 kilometer sejam. Dalam mod enjin konvensional, SF90 Stradale boleh bergerak pada kelajuan maksimum 340 kilometer sejam. Kelajuan 100 km/j boleh dicapai dalam masa 2.5 saat sahaja.
Stereng kenderaan mempunyai rekaan seperti kereta lumba F1 lengkap dengan pelbagai tombol kawalan. Sebuah skrin 6.0″ pula memaparkan kesemua maklumat pemanduan seperti kelajuan, tetapan enjin, tahap bateri dan juga sistem hiburan.
Harga jualan Ferrari SF90 Stradale masih belum diumumkan tetapi ia akan mula dipasarkan pada tahun 2020.
 

Source

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *