Gian Piero Gasperini: ‘Mastermind’ Yang Jadikan Atalanta Sang Pemburu Impian Di Eropah

Bagi kebanyakan peminat bolasepak liga-liga utama Eropah, pasti nama ini agak janggal bagi mereka. Namun bagi pengikut Serie A di Itali, nama ini amat sinonim dengan kelab-kelab pertengahan liga.

Gian Piero Gasperini

Namanya mula mencuri tumpuan selepas kejayaan membawa Atalanta Bergamasca Calcio melepasi peringkat kumpulan di dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Sebelum membawa Atalanta ke peringkat kalah mati 16 pasukan, Gasperini terlebih dahulu mengejutkan bolasepak Itali apabila memacu Atalanta menamatkan liga musim 2018-19 di tangga ketiga.

Ia kedudukan paling tinggi dalam sejarah 111 tahun penubuhan kelab yang berpengkalan di Bergamo, Lombardy itu.

Jurulatih berusia 62 tahun ini memulakan karier kejurulatihan sebagai jurulatih akademi B-14, B-17 dan B-20 tahun kelab Juventus.

Pada tahun 2002, beliau menerima tawaran untuk melatih kelab kecil, Crotone yang ketika itu bermain di dalam Serie C1, divisyen ketiga dalam hirarki bolasepak Itali.

Pada musim pertama bersama Crotone, Gasperini pantas membawa kelab ini bermain di Serie B. Beliau kekal di Crotone selama 3 musim sebelum dipecat pada tahun 2005.

Pada permulaan musim 2006-07, Genoa CFC melantik Gasperini dan diberi tugasan untuk membawa Genoa kembali ke persada Serie A.

Gasperini berjaya mencapai penunjuk indeks prestasi pada musim pertama. Pada musim berikutnya iaitu 2007-08, Gasperini membimbing I Rossoblu menamatkan Serie A di tangga ke-10.

Tetapi pada musim 2008-09 lah taktikal 3-4-3 Gasperini berjaya mencuri tumpuan bolasepak Itali selepas Genoa menamatkan liga di tangga ke-5, pencapaian tertinggi Genoa dalam masa 19 tahun. I Rossoblu layak bermain di UEFA Europa League.

Pada musim itu, Jose Mourinho yang melatih Inter Milan ketika itu, memuji taktikalnya yang disifatkan memberi banyak masalah kepada barisan pemain Inter.

Namun langit tidak selalu cerah. Pada musim 2009-10, Gasperini dipecat apabila prestasi Genoa merudum dan hanya mampu memungut 11 mata dari 10 perlawanan awal liga, walaupun pada awal musim mereka membawa masuk Luca Toni, Rafinha, Miguel Veloso dan Kakha Kaladze.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah nasib Gasperini. Siapa sangka selepas dipecat oleh Genoa, beliau dilantik menjadi jurulatih kelab gergasi Serie A, Inter Milan bagi menggantikan tempat Leonardo yang berhijrah ke PSG.

Sejurus bergelar jurulatih Nerazzurri, tekanan terus dirasainya untuk mengekalkan status Inter yang bergelar naib juara Serie A dan juara Coppa Italia pada musim sebelumnya.

Tetapi malangnya beliau dipecat selepas 3 bulan menduduki kerusi panas itu apabila Inter tewas 4 kali dari kesemua 5 perlawanan termasuk dimalukan 1 – 3 kepada pendatang baru Serie A, Novara.

Ada ura-ura mengatakan bahawa pemain Inter gagal mengikuti tuntutan stamina dan pemahaman taktikal 3-4-3 yang diterapkan beliau. Sementelah musim itu, ramai pemain Inter yang sudah berumur.

Sejurus dipecat oleh Inter, beliau berkelana ke Palermo dan kemudian kembali ke Genoa. Pada awal musim 2016, beliau dilantik menjadi jurulatih Atalanta.

Pada musim 2016-17, Atalanta memiliki barisan pemain akademi yang berkualiti, antaranya Gianluca Mancini, Andrea Petagna, Roberto Gagliardini, Frank Kessie, Mattia Caldara, Andrea Conti, Leonardo Spinazzola dan Bryan Cristante yang menjadi tunjang kebangkitan Atalanta.

Pemain akademi ini digabungkan dengan barisan senior yang berkualiti seperti Alejandro Gomez, Remo Freuler, Marten De Roon dan Rafael Toloi telah benar-benar mengubah status Atalanta dari kelab pertengahan liga kepada pencabar Serie A.

Pada musim pertamanya bersama Atalanta, mereka berjaya menamatkan liga di tangga ke-4 dan layak bermain ke UEFA Liga Europa.

Walaupun begitu mereka hanya mampu melayakkan diri ke pusingan ke-32 selepas ditunjukkan jalan keluar oleh barisan bintang Borussia Dortmund.

Pada musim 2017-18, mereka menamatkan liga di kedudukan ke-7. Dan kemuncaknya pada musim 2018-19, mereka menamatkan saingan di tangga ke-3 dibelakang Juventus dan Napoli, seterusnya melayakkan La Dea bertanding di Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali di dalam sejarah kelab.F

Falsafah bola sepak Gasperini

Gasperini kerap menggunakan formasi 3-4-1-2 atau 3-4-2-1. Namun apa yang membezakan taktikal beliau dengan formasi yang berasaskan bek bertiga ialah beliau mengarahkan pertahanannya mengunci rapat penyerang lawan atau “man marking system” berbanding kelaziman “zonal marking system”.

Secara ringkasnya apabila bertahan, Atalanta akan membayangi formasi pasukan lawan bagi meneutralkan ancaman barisan serangan pemain lawan.

Barisan serangan bertiga pula akan sentiasa menekan pemain pertahanan lawan. Pertahanan sayap mereka akan menekan pertahanan sisi lawan dan seterusnya midfield akan menekan midfield lawan.

Tekanan berintensiti tinggi ini akan sentiasa menyukarkan pemain lawan mengawal bola dan akan memaksa pemain lawan membuat hantaran jauh.

Gasperini akan mengarahkan pemain tengahnya membentuk formasi segi empat ketika menekan.

Apabila pemain lawan menerima bola di kawasan tengah, mereka akan menghadapi dua pemain tengah di hadapan dan dua pemain tengah di belakang.

Ini akan menyukarkan pemain tengah lawan bergerak dan seakan-akan mengepung mereka. Kedua-dua pemain sayap sisi Atalanta akan diarahkan melakukan larian ke hadapan, potong ke dalam atau melakukan kombinasi hantaran satu-dua.

Alejandro Gomez, walaupun hanya berketinggian 5 kaki 5 inci, namun beliau memiliki kemahiran teknikal yang tinggi. Gomez juga menjadi pemain kunci dalam membentuk serangan Atalanta.

Josip Ilicic yang berfizikal tinggi akan digunakan sebagai target man di bahagian serangan. Secara kesuluruhan, Gasperini akan mengarahkan para pemainnya menguasai bola sebanyak mungkin, sabar dan mencari masa yang sesuai untuk menyerang dengan corak hantaran pendek, atau gelecekan dan hantaran lolos ketika mengatur serangan.

Kemampuan skuad Gasperini beradaptasi dengan taktikal lawan disamping keberkesanan gabungan acuan pemain akademi mereka sendiri ke dalam skuad utama membuktikan kewibawaanya.

Gasperini wajar diangkat sebagai jurulatih yang tidak gentar mengetengahkan bakat muda dan bermain dengan taktikal bolasepak yang menghiburkan, berbeza dengan jurulatih-jurulatih Itali yang dikenali dengan sifat pragmatik mereka.

Seperti mana Maurizio Sarri, Gasperini juga bolehlah dianggap sebagai “late bloomer” di dalam arena kejurulatihan.

Selepas 24 tahun bergelumang menjadi jurulatih, inilah masanya Gasperini menunjukkan kepada Eropah apa yang mampu dilakukan oleh barisan pemainnya berasaskan formasi 3-4-2-1.

 

Nota editor: Artikel ini ditulis oleh Accurecca van der Rintako yang merupakan seorang peminat Serie A Itali, telah disunting oleh Grandstand Kita dan diterbitkan dengan kebenaran.

Source link
Gian Piero Gasperini: ‘Mastermind’ Yang Jadikan Atalanta Sang Pemburu Impian Di Eropah

Add a Comment

Your email address will not be published.