Imej Pengolokan Samsung Galaxy S11 Pula Tertiris Juga Dengan Bonjol Kamera Empat Segi


Semalam rekaan Galaxy A71 tertiris menunjukkan pengguna bonjol kamera empat segi yang tidak pernah digunakan oleh Samsung selama ini. Hari ini imej pengolokan yang dihasilkan dari fail CAD Galaxy S11 pula tertiris dengan rekaan yang hampir sama.

Galaxy S11 meletakkan lima sensor dan satu flash di dalam bonjol kamera berbentuk empat segi tepat. Ini menjadikan S11 sebagai peranti Galaxy S pertama dengan kamera yang diletakkan pada bucu atas sebelah kiri. Selama ini Galaxy S menggunakan kamera yang disusun selari dengan tunjang peranti. Penggunaan lima sensor bukanlah perkara baru kerana telahpun digunakan pada Galaxy S10 5G dan Galaxy Note 10+.

Butang kuasa (merangkap Bixby) dan suara dipindahkan ke sisi kanan. Ini adalah perbezaan paling besar kerana selama ini butang suara terletak di sisi kiri dan kuasa pada sisi kanan. Pada Galaxy Note kesemua butang diletakkan pada sisi kanan sehingga menerima kritikan ramai pengguna.

Pada bahagian bawah diletakkan port pengecasan USB-C dan kekisi audio. Dapat dilihat kekisi audio melintang pada bahagian atas skrin bagi memberikan audio stereo. Juga akhir sekali peranti mempunyai lubang kamera pada skrin. Apakah pendapat anda sekiranya ini ialah hala tuju rekaan baharu Samsung untuk siri Galaxy S?



Imej Pengolokan Samsung Galaxy S11 Pula Tertiris Juga Dengan Bonjol Kamera Empat Segi

Add a Comment

Your email address will not be published.