Info Di Mana Kapal Terbang Di Simpan Semasa Pandemik Covid-19 ?

Pada 18 April 2020, media negara kita melaporkan tentang cadangan penggabungan dua buah syarikat penerbangan negara iaitu Malaysia Airlines dan Air Asia; disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang menjejas teruk perniagaan kedua-dua syarikat itu.

Screenshot-1469.jpg

Situasi wabak yang menghalang orang ramai melakukan penerbangan menyebabkan banyak syarikat kapal terbang ketika ini menanggung kerugian yang amat besar setiap hari. Kita juga tidak tahu bila agaknya sempadan negara akan dibuka semula. Seandainya kapal terbang tidak dibenarkan untuk terbang; di manakah kapal terbang yang ada sekarang di atas tanah, akan disimpan?

Keperluan ekonomi dalam syarikat penerbangan

Screenshot-1470.jpg

Satu perkara yang anda perlu fahami; syarikat penerbangan akan sentiasa berdepan kerugian seandainya kapal terbang milik mereka tidak dapat diterbangkan. Oleh sebab itu syarikat penerbangan akan cuba membuka tempahan bagi memastikan tidak ada pesawat yang perlu mendarat lama; melainkan untuk keperluan pengurusan kargo, mengisi minyak, membersih dan menambah balik bekalan.

Selepas wabak Covid-19 melanda, industri penerbangan terjejas teruk di seluruh dunia. Jumlah penerbangan sebulan yang biasanya pada kadar purata 175,000 ke 180,000 di seluruh dunia dan ada kalanya mencecah 10,000 ke 15,000 dalam satu-satu masa, merudum teruk hanya kepada 64,500 bagi bulan Mac tahun 2020, menandakan penurunan permintaan hampir 3 kali ganda.

Disebabkan itu, banyak kapal terbang ketika ini perlu mendarat kerana tidak dibenarkan berlepas, perlu disimpan dan diselia setiap masa. Semua itu memerlukan wang dalam jumlah yang banyak.

Di mana kapal terbang disimpan?

Screenshot-1471.jpg

Bagi membolehkan pendaratan kapal terbang dilakukan untuk simpanan jangka panjang, sudah tentu kawasan yang luas diperlukan. Dalam kes unik seperti pesawat Stratolaunch – pesawat terbesar di dunia yang mempunyai lebar sayap 118 meter, pesawat ini mempunyai lapangan terbangnya sendiri disebabkan oleh saiznya yang terlalu besar jika dibandingkan dengan mana-mana kapal terbang lain.

Sebuah padang bola standard mempunyai saiz panjangnya sekitar 105 meter, jadi kami yakin anda mampu membayangkan bagaimana gergasinya saiz kapal terbang ini. Ini untuk kes-kes tertentulah. Bagi kapal terbang biasa khasnya pesawat komersial, kesemuanya akan ditempatkan di hab dan hangar sama ada milik persendirian, kerajaan dan juga agensi tertentu yang memang menyediakan perkhidmatan seperti itu.

Screenshot-1472.jpg

Mana kapal terbang yang bernasib baik dapat ditempatkan di dalam hangar berbumbung, terlindung daripada panas terik dan hujan. Bagaimanapun, disebabkan jumlah yang terlalu banyak untuk disimpan, majoriti pesawat terpaksa didaratkan di atas landasan pelepasan.

Negara besar seperti Amerika Syarikat tidak mempunyai masalah banyak, mereka mempunyai banyak pengkalan udara yang mampu diubah suai bagi membantu menjadi tempat parkir sementara pesawat-pesawat ini. Namun beberapa negara kecil menghadapi kesukaran dalam menempatkan pesawat berikutan fasiliti serta ruangan yang terhad.

Mod penyimpanan yang berbeza-beza memberikan kos yang berbeza kepada syarikat penerbangan. Sesetengah lapangan terbang mengenakan caj tinggi bagi menempatkan pesawat. Ada juga yang menawarkan pakej murah.

Ruangan parkir murah jadi rebutan syarikat

Screenshot-1473.jpg

Walaupun ada banyak lapangan terbang menawarkan fasiliti storan, syarikat penerbangan tetap perlu mengambil kira kos penyimpanan yang perlu dibayar mereka. Atas sebab inilah lapangan terbang yang lebih kecil mula menjadi tumpuan, kerana mereka mampu menawarkan harga parkir yang lebih murah. Sebuah lapangan terbang kecil di Gloucestershire, England mendapat permintaan tinggi banyak syarikat penerbangan Eropah kerana mereka mempunyai kadar caj yang lebih berpatutan berbanding pesaing.

Lapangan terbang itu bukan saja menerima tempahan storan daripada syarikat penerbangan di sana, malahan turut sama menempatkan pesawat dari negara Eropah lain. Situasi di situ uni kerana lapangan terbang itu sebelum ini, merupakan lokasi di mana pesawat dihantar untuk dibuka, bagi membolehkan alat ganti yang masih berfungsi disimpan untuk kegunaan pesawat lain.

Mana-mana lapangan terbang yang menyimpan pesawat akan menyusun semua pesawat mengikut syarikat dan jenisnya, bagi memudahkan proses penyelenggaraan dijalankan. Selain daripada kadar sewa, penyelenggaraanlah yang menyebabkan kos perlu ditanggung meningkat berkali-kali ganda lebih tinggi.

Masalah logistik tenaga kerja

Screenshot-1474.jpg

Satu masalah utama yang dihadapi syarikat penerbangan, adalah memastikan jurutera bertauliah yang mampu menyelenggara pesawat mengikut model tertentu ada di lokasi di mana pesawat mereka ditempatkan.

Oleh sebab itulah jurutera pesawat ketika ini menjadi antara individu paling sibuk ke sana ke mari, memeriksa setiap pesawat di bawah kendalian mereka. Pesawat yang ada perlu diperiksa, dihidupkan enjinnya, diselenggara panel kawalan serta sensornya.

Yang sangat penting, semua enjin pesawat perlu dilindungi bagi mengelakkan habuk, serangga dan khasnya burung tidak membuat sarang di dalamnya. Oleh sebab itu, semua enjin pesawat akan ditutup dengan lapisan plastik bagi memastikan tiada bendasing terlepas.

Tayar semua kapal terbang yang statik perlu dipusingkan sekurang-kurangnya seminggu ke dua minggu sekali – memerlukan kapal terbang diangkat dengan mesin kren, bagi membolehkan tayar bebas.

Iklim persekitaran juga memainkan peranan. Di kawasan-kawasan beriklim sejuk, setiap pesawat perlu dipasang lapisan perlindungan yang lebih tebal serta kerap diperiksa agar tidak ada fros terbentuk sehingga mengakibatkan kerosakan kekal, menambahkan lagi kos untuk penyimpanannya.

Berapakah kos untuk ‘parking’ pesawat?

Screenshot-1475.jpg

Untuk mengetahui berapakah caj parkir yang diperlu dibayar syarikat penerbangan dalam memastikan pesawat mereka selamat dan penyelenggaraannya berjalan lancar sepanjang Covid-19; agak sukar diketahui angka sebenarnya.

Ini kerana kita tetap perlu mengambil kira gaji untuk juruterbang, pramugara dan pramugari, jurutera, pekerja am dan sebagainya yang masih berjalan seperti biasa. Pesawat yang dibeli secara pinjaman juga tetap memerlukan pembayaran diteruskan. Kecuali ada moratorium ditawarkanlah kan?

Menurut akhbar San Diego Union-Tribune bagi kadar parkir di negeri itu, kadar yang dikenakan kepada syarikat untuk parkir adalah sekitar $0.40 atau RM1.70 untuk setiap 1,000 paun berat pesawat di sana sehari.

Jika kita guna model pesawat Boeing 777 yang mempunyai berat kosong 167 tan, kos yang perlu dibayar hanya untuk parkir adalah RM650. Sehari untuk satu pesawat! Kita belum mengambil kira kos penyelenggaran bulanan yang dikenakan, sekitar purata RM8500 bergantung kepada jenis, model dan tahap penyelenggaraan pesawat itu.

Dianggarkan untuk pesawat lebih kecil seperti model Boeing 737, kos parkir dan penyelenggaran untuk sebulan adalah sekitar RM13,405. Untuk model 777 yang lebih besar mampu mencecah RM27,500.

Untuk syarikat penerbangan gergasi di Amerika Syarikat seperti Delta yang mempunyai 600 pesawat dalam angkatannya, kos sebulan parkir dan penyelenggaraan diramalkan akan mencecah RM13.5 juta. Berapakah kos yang perlu ditanggung Air Asia dan Malaysia Airline agaknya?

Oleh sebab itu, kami menasihatkan kepada kumpulan M40 dan B40 macam kami yang berminat untuk memiliki kapal terbang, fikirlah masak-masak sebelum anda membeli sebuah kapal terbang sendiri.

Takut nanti kapal terbang anda tersadai, tetapi duit anda tetap mengalir keluar tanpa henti.

Add a Comment

Your email address will not be published.