Jasad Chin Peng : Menang Jadi Abu, Kalah Jadi Arang.


Oleh : Arif AtanMenang jadi arang, kalah jadi abuMengapa kita semua hanya tahu abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa masuk ke negara ini hanya selepas dua bulan berlalunya peristiwa itu? Dua bulan lalu mereka bawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand secara senyap-senyap. Kenapa senyap-senyap? Mereka mengaku tidak mahu mengundang kejadian yang tidak diingini akibat dihebah kepada orang ramai. Bukankah berani kerana benar, takut kerana salah?Bagaimana pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak tahu hal tersebut dan mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan membawa pulang abu mayat Chin Peng?Apa pula perkara yang membabitkan ketenteraman awam dan kedaulatan negara yang KDN mungkin terlepas pandang jika isu ‘remeh’ seperti abu mayat Chin Peng pun tidak tahu?Membaca ‘ritual’ peringatan dihadiri lebih 150 orang itu juga mencetuskan rantaian persoalan.Sebahagian abu mayat Chin Peng ditabur di laut dekat Lumut. Sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa. Laut dan darat. Apa simbolnya walaupun dikatakan di Lumut itu ada kubur ibu bapa Chin Peng?Di Lumut ada Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Sambutan Hari Angkatan Tentera (ATM) ke-86 yang bertemakan `Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ pada 27 September lalu pun diadakan di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan TLDM itu.Banjaran Titiwangsa pula tulang belakang Semenanjung Malaysia yang dulunya dipanggil Tanah Melayu dengan menjadi legeh dan kawasan tadahan bagi sungai-sungai utama.Memanglah buat masa ini tiada sebarang tugu dibina. Akan datang, bagaimana? Tidakkah bermula dengan membawa pulang abu itu akan membuka ruang pula kepada aksi atau tindakan selanjutnya pada tahun-tahun mendatang?Ketika jurang ekonomi antara kaum begitu melebar dan majoriti kaum Cina menolak Sekolah Kebangsaan untuk semua anak Malaysia sebumbung saling mengenal hati budi, isu abu Chin Peng akan menajamkan lagi rasa prejudis antara kaum selepas pelbagai isu menghina bendera dari taikun hinggalah persatuan sukan peringkat nasional.Akhirnya siapa sebenarnya untung jika rasa tidak percaya yang sekian lama terpendam kemudiannya ibarat gunung berapi memuntahkan amarah? Menang jadi arang, kalah jadi abu.

Add a Comment

Your email address will not be published.