Johor Semakin Bersedia Anjur SUKMA 2020

Sukan Malaysia (SUKMA) pada hari ini dilihat sebagai medan melahirkan atlet-atlet negara yang baru, akan kembali mewarnai arena sukan negara pada Julai tahun hadapan.

Johor yang akan menjadi tuan rumah untuk edisi seterusnya kini berada di fasa terakhir persiapan  untuk memastikan segalanya tersedia untuk menyambut atlet-atlet dari setiap negeri yang akan tiba.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Johor, On Jabbar @ Ja’afar berkata Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) menganggap persiapan kini sudah berada pada tahap 80%.

Ini bermakna segala kemudahan utiliti dan infrastruktur yang sedang berada di dalam pembinaan dijangka akan siap selewat-lewatnya pada April tahun hadapan.

“Sebanyak 11 venue masih dalam pembinaan dan ada venue yang telah siap seperti Stadium Olahraga Mount Austin yang menelan kos RM182 juta, cuma tunggu kemudahan utiliti dan infrastruktur,” kata On.

“Bagi pengelolaan pula, semua perancangan dah siap mengikut 24 jawatankuasa yang dibentuk seperti penginapan, pengangkutan dan keselamatan.”

26 jenis sukan bakal dianjurkan di Johor tahun depan, meliputi beberapa daerah di Johor. Selain daripada Johor Bahru dimana kebanyakan acara dijalankan, Kota Tinggi dan Muar turut akan menyaksikan beberapa acara lain dipertandingkan.

Antara venue yang sedang rancak dalam pembinaan ialah Youth Hub Iskandar di Iskandar Puteri yang menempatkan trek velodrom dan BMX, serta Arena Emas di Taman Impian Emas mempunyai gelanggang memanah, arena boling padang, arena petanque dan pusat skuasy.

SUKMA Johor 2020 akan bermula pada 11 hingga 19 Julai depan, diikuti Para Sukma, dari 16 hingga 22 Ogos 2020.

Kali terakhir Johor tampil sebagai tuan rumah SUKMA ialah pada 1992.

Source link
Johor Semakin Bersedia Anjur SUKMA 2020

Add a Comment

Your email address will not be published.