KL Ke Pulau Pinang Sejam Guna Kereta Terbang

KUALA LUMPUR – Pihak swasta, usahawan dan pembekal teknologi tinggi dalam perbincangan untuk memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang selama sejam dengan menggunakan kereta terbang.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, prototaip kereta terbang juga dijangka dilancarkan akhir tahun ini.
Menurutnya, kos tersebut ditanggung pihak swasta dan tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan.
“Sekarang kita pergi ke Pulau Pinang perlukan empat jam. Pihak swasta dan usahawan sedang berbincang dengan pembekal teknologi tinggi untuk membolehkan kita ke Pulau Pinang dalam masa sejam menggunakan kereta terbang.
“Ada perbincangan awal untuk memastikan perkara ini boleh direalisasikan dalam masa terdekat pada 2020,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin AbuBakar (BN-Rembau) yang bertanyakan bilakah tarikh spesifik projek kereta terbang itu akan dilancarkan.
Sebelum ini Redzuan dilaporkan berkata, model prototaip kereta terbang pertama Malaysia yang dipacu teknologi tempatan akan didedahkan kepada orang ramai pada bulan ini dan projek tersebut tidak menggunakan sebarang dana kerajaan.
Sementara itu, Redzuan menegaskan industri mobiliti udara mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara dan membangunkan perusahaan kecil dan sederhana.
“Projek kereta terbang ini akan mendorong pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI), data besar dan 'Internet of Things' yang sedang berkembang pesat di peringkat antarabangsa.
“Projek ini tidak melibatkan sebarang peruntukan kerajaan dan kerajaan tidak akan menanggung sebarang kerugian sekiranya projek ini tidak berjalan seperti yang dirancang,” katanya.
Sumber: Sinar Harian

sumber Sehinggit Media News

Source

One Comment

Add a Comment

Your email address will not be published.