Konsol Permainan Terbaru Daripada Microsoft Diperlihatkan – Microsoft Xbox Series X


Sewaktu acara Video Game Awards yang sedang berlangsung hari ini, pihak Microsoft telah memperlihatkan konsol permainan generasi akan datang mereka, yang dinamakan Microsoft Xbox Series X.

Apa yang menarik mengenai konsol permainan ini ialah ia hadir dengan rekaan seakan-akan sebuah komputer bersaiz segiempat tepat berdiri yang padat. Melalui video acah yang diperlihatkan juga, konsol Xbox Series X ini nampaknya boleh digunakan apabila ia berada di posisi menegak mahupun mendatar.

Phil Spencer yang mengetuai bahagian Xbox di Microsoft berkata bahawa konsol ini akan dikuasakan oleh gabungan CPU dan GPU AMD Ryzen Zen 2 dan AMD Radeon Navi yang menggunakan teknologi RDNA. Kemampuan pemprosesan konsol ini pula dikatakan empat kali lebih berkuasa berbanding dengan konsol mereka sebelum ini, iaitu Microsoft Xbox One X.

Butiran tambahan yang diketahui mengenai Xbox Series X buat masa ini ialah ia akan menggunakan storan SSD dan dari segi prestasi, ia boleh menggerakkan permainan pada resolusi 8K, dengan sokongan kadar segar semula boleh-ubah (variable refresh rate) sehingga 120FPS.

Phil Spencer mengatakan lagi bahawa konsol Microsoft Xbox Series X ini akan tiba di pasaran-pasaran terpilih pada musim cuti 2020 kelak, kemungkinan besar sekitar masa yang sama seperti konsol permainan Sony PlayStation 5.



Konsol Permainan Terbaru Daripada Microsoft Diperlihatkan – Microsoft Xbox Series X

Add a Comment

Your email address will not be published.