Magic Keyboard Untuk iPad Pro Diumumkan Dengan Pad Sesentuh Terbina


Selain dua model MacBook Air baharu dan iPad Pro dengan tri-kamera sebentar tadi, Apple turut mengumumkan aksesori Magic Keyboard untuk iPad Pro. Papan kekunci ini berbeza dengan papan kekunci iPad terdahulu kerana akhirnya dilengkapi sebuah pad sesentuh terbina.

Dengan wujudnya pad sesentuh ini, proses menggunakan iPad Pro seperti sebuah komputer riba akan menjadi lebih mudah. Sebuah lagi keunikan Magic Keyboard ialah ia mempunyai bahagian leher yang boleh dilaras sudut pandangannya. iPad Pro boleh diletakkan terapung di atas papan kekunci. Papan kekunci Magic yang disertakan pula adalah sama seperti yang digunakan pada Macbook Air baharu lengkap dengan mekanisme gunting.

Magic Keyboard bercantum menggunakan magnet pada panel belakang iPad Pro dan melakukan sentuhan dengan port Smart Connect. Ini membolehkan iPad Pro dicas menerusi sebuah port USB-C yang terbina pada engsel Magic Keyboard. Walaupun diumumkan hari ini, Magic Keyboard akan hanya ditawarkan bermula Mei kelak.

Apple turut mengesahkan sokongan kursor menerusi iPadOS  13.4 yang akan diberikan pada 24 Mac kelak. Kursor ini muncul pada skrin sekiranya tablet disambungkan kepada Magic Mouse 2, Magic Trackpad 2 dan Magic Keyboard. Dengan wujudnya kursor ini, pengalaman menggunakan iPadOS lebih menghampiri macOS.



Magic Keyboard Untuk iPad Pro Diumumkan Dengan Pad Sesentuh Terbina

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *