Nicol Ann David Kembali Ke Gelanggang Skuasy Buat Pertama Kali Selepas Persaraan

Datuk Nicol Ann David telah mengumumkan persaraan sebagai pemain profesional Skuasy pada Mei lalu, namun ia tidak menghalan beliau untuk melakukan penampilan semula.

Berbeza daripada sebelum ini ketika beliau tampil dalam perlawanan kompetitif untuk kejuaraan, kali ini ratu skuasy negara itu akan turun ke gelanggang untuk menjadi inspirasi pemain muda negara.

Di bawah program ‘The Dream Remains’ yang bermula esok, dua pemain muda akan dipilih untuk menentang juara dunia lapan kali itu pada acara pertunjukkan.

Program yang dirancang oleh Nicol dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) itu akan memberi peluang kepada seorang pemain lelaki, dan seorang pemain wanita junior peluang sekali seumur hidup menentang Nicol di gelanggang.

133 pemain dijangka akan hadir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil esok untuk klinik dua hari bersama Nicol, dan untuk merebut peluang keemasan tersebut.

“Berehat untuk seketika selepas bersara, berikan saya masa berehat dan keinginan untuk bermain semula, jadi sekarang ini bermain bersama junior,” kata Nicol kepada pemberita semalam.

“Saya telah bermain bersama sebahagian daripada mereka dan cuba untuk mengikuti rentak mereka, jadi harapannya perlawanan itu nanti akan berikan satu lonjakan yang baik untuk mereka,” katanya.

Antara intipati program dua hari itu ialah perlawanan pertunjukkan oleh empat pemain profesional, iaitu pemain nombor satu negara dan nombor 24 dunia, Low Wee Wern, pemain nombor lapan dunia Sarah-Jane Perry dari England, Tinne Gilis dari Belgium (22) dan Hollie Naughton dari Kanada (29).

“Selepas saya bersara, impian saya masih sama, antaranya ialah untuk mengadakan satu acara bertaraf dunia di Malaysia bagi menjadi satu hub skuasy masa hadapan dan membawa semula pemain professional terbaik ke Malaysia.

“Saya juga mahu melihat pemain skuasy terbaik bermain di sini dan mendapatkan sokongan daripada peminat Malaysia untuk menjadi inspirasi kepada pemain muda.

“Jadi saya fikirkan kenapa tidak kita mulakan dengan perlawanan pertunjukkan, bawa tiga permain terbaik wanita dunia dan pemain terbaik Malaysia, berikan perlawanan skuasy pada tahap tertinggi.

“Bermula kecil-kecilan dan kemudiannya membawa penonton lebih ramai. Saya berharap seluruh rakyat Malaysia akan datang dan berikan sokongan kepada kami dan jika responnya baik, saya berharap untuk anjurkannya setiap tahun dan bertaraf dunia,” kata beliau lagi.

Nicol Ann David ialah pemain berasal dari Pulau Pinang, dan pernah memenangi 81 gelaran PSA selain turut memegang rekod pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut dari 2006 hingga 2015.

Aksi profesional terakhir Nicol Ann David ialah di Terbuka British pada Mei tahun ini, selepas menikmati karier cemerlang dalam skuasy selama 20 tahun.

Program dua hari ini terbuka kepada semua orang, masuk adalah percuma, manakala penonton berpeluang mengambil bahagian dalam beberapa acara sampingan, termasuklah memandu uji kereta baharu Mercedes-Benz.

 

Source link
Nicol Ann David Kembali Ke Gelanggang Skuasy Buat Pertama Kali Selepas Persaraan

Add a Comment

Your email address will not be published.