Peranti Sebenar Motorola Edge Tertiris – Skrin “Waterfall”, Snapdragon 765, Kamera 64MP


Pada bulan Februari lalu, peranti Motorola One 2020 atau Motorola Edge+ telah tertiris. Ia dikatakan menggunakan skrin melengkung waterfall dan dijana dengan Snapdragon 865. Bukan itu sahaja, Motorola turut akan hadir dengan variasi kelas pertengahan yang dikatakan akan dijana Snapdragon 765 dan adalah peranti 5G mampu milik. Kemudian bulan lalu, imej pengolokan peranti ini tertiris lagi dan tetapan kamera peranti ini turut diperlihatkan di arena web dengan lensa 108MP.

Baru-baru ini sedikit berbeza, kerana sebuah peranti Motorola yang lebih kurang sama turut tertiris. Ia bukannya Motorola Edge+, sebaliknya adalah Motorola Edge. Ia adalah peranti 5G mampu milik yang dilaporkan sebelum ini dan ia juga dilihat menggunakan skrin melengkung waterfall. Paparan peranti ini turut menyokong kadar segar semula 90Hz dan mempunyai pengoptimasian kecerdasan buatan untuk memilih kadar segar semula yang bersesuaian dengan peranti. Rekaan skrin juga mempunyai lubang untuk lensa kamera swafoto yang dikatakan adalah 25MP. Saiz skrin adalah 6.67-inci dan mempunyai resolusi FHD+.

Pada bawah skrin, turut terdapat sensor pengimbas cap jari untuk menyahkunci peranti. Peranti ini turut mempunyai pembesar suara stereo. Menariknya, sudah tahun 2020 peranti masih mengekalkan port bicu audio 3.5mm dan akan mempunyai sokongan kad microSD. Motorola Edge ini mempunyai kamera 64MP lensa utama, 16MP lensa sudut ultra lebar, 8MP lensa telefoto. Lensa 64MP ini adalah dari pixel binning 16MP 4-dalam-1. Peranti ini turut mempunyai auto-fokus berasaskan laser dan dwi-LED flash. Logo Motorola turut kelihatan pada panel belakang peranti. Ia kelihatan premium dan berbeza dengan peranti Motorola lain.

Seperti yang dikatakan tadi, peranti ini adalah peranti kelas pertengahan dan mungkin akan dijual pada harga premium berdasarkan rekaan. Ia akan dijana Snapdragon 765 dan mempunyai 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Bateri pula adalah 4,400mAh. Dengan wabak koronavirus yang menular, pengeluaran peranti ini mungkin akan tertangguh dan tidak pasti bila ia akan dilancarkan. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.



Peranti Sebenar Motorola Edge Tertiris – Skrin “Waterfall”, Snapdragon 765, Kamera 64MP

Add a Comment

Your email address will not be published.