Polis Tiada Hak Periksa Telefon Bimbit Orang Awam – Musa Hassan.


Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memaklumkan polis tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit orang awam.Memetik laporan sebuah portal, Musa menyatakan polis hanya boleh memeriksa telefon orang awam jika ia dikaitkan dengan siasatan terhadap orang tersebut.”Harus ada laporan polis yang dibuat terhadap seseorang, dan mereka menyiasat orang itu, atau polis mengesyaki seseorang terlibat dalam jenayah dan sedang menyiasatnya,” katanya.Sementara itu, aktivis masyarakat, Lee Lam Thye berkata, polis tidak boleh memeriksa telefon bimbit orang ramai tanpa alasan kukuh.“Kalau polis boleh tahan dan ‘check’ telefon bimbit seseorang tanpa alasan kukuh, saya rasa ini tak wajar dan ini memang bercanggah dengan privasi. Telefon bimbit itu privasi, tak boleh lah ‘check’ begitu saja. Orang ramai pun mesti tak terima cara ini,” katanya.Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat berkata, polis mempunyai hak untuk menyemak telefon bimbit orang awam untuk memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam keselamatan.Katanya, perkara itu dibenarkan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.Sebelum itu, Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai membangkitkan soalan akta dan prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan polis menyemak telefon bimbit orang awam pada bila-bila masa.Peguam Muhammad Akram Abdul Aziz pula berkata skop kuasa pemeriksaan Kementerian Dalam Negeri pada Seksyen 233 AKM itu kelihatan tidak jelas.Bagaimanapun katanya kuasa itu jelas apabila dirujuk pada seksyen-seksyen lain.“Contohnya, Seksyen 245(1) di mana menteri boleh secara bertulis memberi kuasa mana-mana pegawai awam atau pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjalankan kuasa penguatkuasaan di bawah AKM 1998.“Seksyen 246 (2) juga menyatakan mana-mana pegawai diberi kuasa menjalankan semua kuasa khas berhubung dengan penyiasatan polis’.“Seksyen 252(1) juga boleh diguna pakai di mana skop penyiasatan menyatakan pendakwa raya, jika beliau berpendapat mana-mana komunikasi mungkin mengandungi apa-apa maklumat yang berkaitan suatu kesalahan di bawah akta ini, boleh memberi kuasa kepada pegawai polis untuk memintas komunikasi yang dihantar atau diterima melalui mana-mana alat komunikasi,” katanya. (Sinar Harian)

Add a Comment

Your email address will not be published.