Redmi K30 Pro 5G Akan Dilancarkan Pada 24 Mac


Redmi K30 Pro 5G adalah peranti yang ramai nanti-nantikan. Ini kerana ia adalah pembunuh peranti mercu seterusnya yang bakal dijana dengan cip Snapdragon 865. Sehingga hari ini, semua peranti dengan Snapdragon 865 dijual pada harga yang mahal, mencapai RM4k. Jadi, peranti ini Redmi ini adalah penyelamat kocek pengguna.

Redmi K30 Pro akan dilancarkan pada 24 Mac ini. Ia diumumkan melalui poster acah yang memperlihatkan tarikh dan nama peranti sahaja. Tiada informasi rasmi lain mengenai peranti ini. Tetapi ia dikatakan akan hadir dengan saiz skrin besar, iaitu sekitar 6.67-inci dan mungkin akan menyokong kadar segar semula 120Hz.

Menurut laporan Ishan Agarwal, peranti akan menjadi peranti Snapdragon 865 yang paling murah. Jadi jangan harap ia akan mempunyai spesifikasi hebat lain seperti kemampuan kamera yang baik. Seperti anda semua sedia maklum, cip Snapdragon 865 harga kosnya adalah mahal – iaitu sekitar RM339. Jadi Redmi pasti akan mengorbankan beberapa bahagian lain untuk memastikan harga jualan peranti ini murah.

Peranti ini hari ini telah pun tertiris. Ia diperlihatkan oleh peniris terkenal Xiaomishka. Peranti ini akan kekal menggunakan elemen rekaan Redmi K20 Pro, seperti modul kamera bulat dan kamera pop-naik. Cuma pada kamera, ia kelihatan mempunyai empat lensa. Ada kemungkinan besar juga yang kamera pop-naik ini akan menempatkan dua lensa. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan pada 24 Mac nanti. Kerana Redmi juga mungkin akan melancarkan Redmi K30 Pro Zoom Edition.



Redmi K30 Pro 5G Akan Dilancarkan Pada 24 Mac

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *