Telefon-Telefon Terbaik 2019


Tahun 2019 mungkin antara tahun paling menarik dalam sejarah telefon mudah alih. Kita melihat kemunculan peranti skrin boleh lipat pertama dipasarkan, sokongan 5G dan kemampuan kamera yang sebelum ini dianggap mustahil. Seperti tahun-tahun terdahulu kini tiba masanya untuk menobatkan peranti-peranti terbaik sepanjang tahun. Harus diakui kerana pelbagai inovasi yang diperkenalkan, tugas mencari yang terbaik adalah semakin sukar.

Oleh sebab kekangan ruang dan masa, kami mengambil keputusan untuk sekadar menobatkan peranti terbaik keseluruhan dan peranti kelas pertengahan terbaik. Pada tahun 2019 harga jualan peranti kelas pertengahan yang terbaik juga adalah amat kompetitif sehingga kami merasakan menobatkan peranti kelas permulaan terbaik yang hanya sedikit lebih murah berbanding kelas pertengahan adalah usaha yang sia-sia. Kerana lambakan peranti kelas pertengahan, kami juga tidak mengulas banyak peranti kelas permulaan.

Baiklah seperti tahun lalu jika anda lebih selesa menonton video, di bawah ialah video Telefon Pintar Terbaik 2019. Tetapi jika anda lebih selesa dengan versi artikel, sila teruskan membaca.

Untuk memudahkan pencarian peranti terbaik kami meletakkan beberapa prasyarat kelayakan. Dengan syarat-syarat di bawah kami berharap anda akan mengetahui parameter-parameter yang kami gunakan di makmal Amanz.

Tidak perlu lagi membuang masa kerana kami yakin anda hanya mahu mengetahui peranti manakah yang terbaik. Harus kami ingatkan, harga jualan peranti tidak menjadi faktor utama memandangkan ia adalah subjektif. Ia hanya menjadi faktor jika dua peranti mempunyai spesifikasi yang sama dan harga lebih rendah akan memberikan kelebihan kerana menjadikannya lebih berbaloi.


Telefon Kelas Pertengahan

Kriteria Pemilihan

  • Pemproses kelas pertengahan tinggi seperti Snapdragon 730.
  • Skrin sebesar 6-inci dan ke atas.
  • Skrin dari keluarga OLED.
  • Kamera utama sekurang-kurangnya sebesar 48-Megapixel.
  • Bateri sekurang-kurangnya berkapasiti 4000 mAh.
  • Menyokong pengecasan pantas
  • Port pengecasan USB-C
  • Menggunakan Android 9 atau Android 10
  • Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia

Tempat Ketiga – Xiaomi Mi 9T

Kami boleh mendengar suara-suara peminat Xiaomi yang menjerit peranti mereka ini tidak mendapat tempat pertama. Harus diakui Xiaomi Mi 9T adalah peranti yang memberikan nilai yang terbaik untuk setiap ringgit yang dibelanjakan. Tetapi anugerah yang kami berikan ialah untuk peranti terbaik bukan peranti paling mesra dompet. Sekali lagi kami ingatkan harga adalah subjektif. Oleh sebab itu Mi 9T hanya layak diletakkan di tempat ke tiga. Mengapa? Sila baca perenggan di bawah mengenai Oppo Reno2 untuk mengetahui jawapannya.

Spesifikasi: 6.39” AMOLED FHD+ 19.5:9, Snapdragon 730 (2X Kryo 470 Gold 2.2 GHz + 6X Kryo 470 Silver 1.8 GHz), 6GB RAM, storan sehingga 128GB, 48+8+13MP (Utama), 20MP Pop-naik (Swafoto), 4000 mAh (18W), Android 9.

Harga: Dari RM1199 (6GB RAM + 64GB)

Tempat Kedua – Oppo Reno2

Oppo Reno2 memintas Xiaomi Mi 9T kerana kemampuan kamera yang lebih baik (sensor telefoto lebih besar), skrin yang lebih besar dan sokongan pengecasan pantas yang lebih berkuasa. Pada waktu yang sama Reno2 mempunyai kemasan yang lebih baik ditambah pula dengan sistem imbasan wajah yang lebih pantas. Kamera terbina dalam sirip jerung menjadikannya antara peranti paling unik sepanjang tahun. Oleh itu kami menobatkan Oppo Reno2 sebagai peranti kelas pertengahan kedua terbaik 2019.

Spesifikasi: 6.5” AMOLED FHD+ 20:9, Snapdragon 730G (2X Kryo 470 Gold 2.2 GHz + 6X Kryo 470 Silver 1.8 GHz), 8GB RAM, storan sehingga 256GB, 48+13+8+2MP (Utama), 16MP Pop-naik (Swafoto), 4000 mAh (20W), Android 9.

Harga: Dari RM2299 (6GB RAM + 64GB)

Juara – Xiaomi Mi Note 10

Juara dalam kategori peranti kelas pertengahan ialah Xiaomi Mi Note 10. Walaupun ia sebuah peranti kelas pertengahan, ia mempunyai rekaan yang setanding dengan sebuah peranti mercu. Skrin OLED dwi-lengkungnya amat menarik dengan sokongan HDR10. Ia turut dilengkapi lima kamera utama dengan sensor paling besar pernah digunakan pada sebuah telefon pintar. Tidak mengejutkan ia adalah peranti dengan kemampuan kamera terbaik 2019 menurut laman DXOMark.

Yang melayakkan lagi Mi Note 10 untuk menjadi peranti terbaik dalam kelasnya ialah bateri sebesar 5260 mAh dengan sokongan pengecasan 30W. Ini ialah kapasiti bateri yang lebih besar dan pengecasan lebih pantas berbanding majoriti peranti mercu di pasaran sekarang. Oleh sebab itu Xiaomi Mi Note 10 ialah peranti kelas pertengahan terbaik untuk tahun ini.

Spesifikasi: 6.47” AMOLED FHD+ 19.5:9, Snapdragon 730G (2X Kryo 470 Gold 2.2 GHz + 6X Kryo 470 Silver 1.8 GHz), 6GB RAM, storan 128GB, 108+12+5+20+2 MP (Utama), 32MP (Swafoto), 5260 mAh (30W), Android 9.

Harga: RM2099 (2GB RAM + 16GB)


Telefon Kelas Mercu

Kriteria Pemilihan

  • Pemproses paling berkuasa (A13 Bionic, Snapdragon 855, Exynos 9825)
  • Skrin dari keluarga OLED.
  • Skrin menyokong kandungan HDR.
  • Kamera tri-lensa.
  • Pengecasan tanpa wayar.
  • Pengecasan pantas.
  • Kemampuan kalis air.
  • Bateri 4000 mAh dan ke atas.

Tempat Ketiga – Huawei P30 Pro

Peranti pertama sejak ASUS Zenfone Zoom yang dilengkapi mekanisme periskop yang memberikan kemampuan zum optikal yang mengagumkan. Walaupun sudah hampir setahun dipasarkan, Huawei P30 Pro masih lagi antara peranti terbaik di pasaran kerana kemampuan kameranya yang sehingga kini agak sukar ditandingi. Di samping itu ia dilengkapi spesifikasi yang amat baik sesuai dengan statusnya sebagai sebuah peranti mercu. Ketahanan bateri sebesar 4200 mAh juga boleh dibanggakan. Pengecasan pantas 40W, pengecasan nirwayar dan menyokong pengecasan peranti lain secara nirwayar meletakkan P30 Pro sebagai peranti ketiga terbaik 2019.

Mengapa ia  di tangga yang lebih tinggi? Huawei P30 Pro hanya merakam video pada resolusi 4K 30FPS. Prestasi rakaman videonya juga tidak menandingi dua peranti yang di tangga lebih tinggi. Bagi menjawab persoalan yang pasti akan muncul di ruangan komen, Mate 30 Pro tidak berada di tempat lebih tinggi kerana ia tidak menawarkan pengalaman perisian Android yang sempurna. Kami sedar Mate 30 Pro mempunyai spesifikasi lebih tinggi tetapi tanpa GMS, sokongan kemas kini Android yang baik dan harga jualan yang lebih tinggi membuatkannya kalah kepada P30 Pro pada hemat kami.

Spesifikasi: 6.47” OLED FHD+ 19.5:9, Kirin 980 (2X Cortex A76 2.6 GHz + 2X Cortex A76 1.92 GHz + 4X Cortex A55 1.8GHz), 8GB RAM, storan sehingga 256GB, 40+20+8+TOF MP (Utama), 32MP (Swafoto), 4200 mAh (40W), Android 10.

Harga: Dari RM2999 (8GB RAM + 256GB)

Tempat Kedua -Samsung Galaxy Note 10+

Untuk tahun kedua berturut-turut, Samsung hanya perlu berpuas hati sebagai pengeluar peranti kedua terbaik sepanjang 2019. Samsung Galaxy Note 10+ ialah peranti dengan kemampuan multi-tugas dan multi-fungsi terbaik tahun ini. Ia ditempatkan di hadapan P30 Pro kerana skrin yang lebih baik. pemproses lebih berkuasa, ketahanan bateri lebih tinggi dan pengecasan yang lebih pantas.

Kemampuan rakaman video dan resolusi skrin Note 10+ juga adalah lebih baik. Tetapi sokongan stylus S Pen adalah ciri yang membuatkannya unik di dalam kelas ini. Tidak ada peranti mercu lain di pasaran yang menawarkan sokongan stylus terbina lengkap dengan kawalan gesture yang unik. Kesemua ini dimasukkan ke dalam tubuh yang mempunyai kemasan yang amat premium. Samsung Galaxy Note 10+ ialah peranti kedua terbaik 2019 yang turut melayakkannya menjadi peranti Android terbaik tahun ini.

Spesifikasi: 6.8” Dynamic AMOLED QHD+ 19:9, Exynos 9825 (2X Mongoose M4 2.73 GHz + 2X Cortex A75 2.4 GHz + 4X Cortex A55 1.78GHz), 12GB RAM, storan sehingga 512GB, 12+12+16+TOF MP (Utama), 10MP (Swafoto), 4300 mAh (45W), Android 10.

Harga: Dari RM4199 (12GB RAM + 256GB)

Juara – Apple iPhone 11 Pro Max

Buat julung kalinya iPhone kami nobatkan sebagai peranti terbaik 2019. Perbezaan markah ulasan antara iPhone 11 Pro Max dan Note 10+ adalah hanya 0.1 markah sahaja. Apa yang meletakkan iPhone 11 Pro Max di hadapan ialah pemproses A13 Bionic yang merupakan pemproses paling berkuasa sehingga langsung tidak dapat ditandingi Snapdragon 855+ yang merupakan pemproses paling berkuasa peranti Android. Ini masih mampu dilakukan walaupun A13 hanya sekadar dilengkapi enam teras.

Kelebihan juga terletak pada perisian iOS 13 yang dikemaskini dengan kerap dan pantas. Harus diakui iOS 13 menghadapi pelbagai bermasalah pada awalnya tetapi Apple pantas menyelesaikannya. Sebagai perbandingan Android 9 pasca Project Treble, masih lagi memakan masa beberapa bulan untuk dikemaskini ke Android 10 pada majoriti peranti.

Kekuatan sebenar 11 Pro Max terletak pada kemampuan kameranya yang amat baik. Walaupun tanpa zum sehingga 50X, rakaman gambar pada penggunaan biasa adalah mendahului Note 10+ dan P30 Pro. Rakaman video pula masih di dalam kelasnya yang tersendiri. Sehingga hari ini apabila kami memuat naik video yang dirakam menggunakan 11 Pro Max, ramai yang akan bertanya peranti apa yang digunakan kerana kualitinya yang jauh di hadapan.

Akhir sekali ialah kualiti kemasan 11 Pro Max yang masih belum mampu ditandingi. Jika anda membayar RM5000 untuk sebuah peranti, anda mendapat sesuatu yang setimpal dengan harganya. Oleh sebab itu iPhone 11 Pro Max ialah peranti terbaik 2019.

Spesifikasi: 6.5” Super Retina XDR OLED QHD+ 19,5:9, Apple A13 Bionic (2X Lightning 2.65 GHz + 4X Thunder 1.8 GHz), 4GB RAM, storan sehingga 512GB, 12+12+12 MP (Utama), 12MP (Swafoto), 3969 mAh (18W), iOS 133.

Harga: RM5299 (4GB RAM + 64GB)


Telefon Paling Inovatif

Kriteria Pemilihan

  • Menawarkan sesuatu yang baharu atau unik.
  • Mengubah dunia telefon mudah alih.

Tempat Ketiga – Motorola Razr 2019

Evolusi peranti skrin boleh-lipat dimulakan dengan Royole Flexpai, diikuti dengan Galaxy Fold dan Mate X sebelum diakhiri dengan Motorola Razr. Di antara keempat-empat peranti ini, Razr ialah yang pertama membuktikan rekaan clamshell klasik adalah paling sesuai untuk peranti skrin boleh-lipat. Saiznya cukup kecil untuk dimasukkan dengan selesa di dalam kocek tidak seperti Fold. Ia juga yang pertama tidak mempunyai kesan lipatan pada skrin. Ia di tangga ketiga kerana ketika artikel ditulis pelancarannya telah ditangguhkan dan hanya sekadar sebuah peranti kelas pertengahan yang dijual pada harga $1500. Tetapi kami percaya Razr akan menjadi prototaip untuk peranti skrin boleh-lipat generasi seterusnya.

Spesifikasi: 6.2”+2.7″ P-OLED, Snapdragon 710 (2X Kryo 360 Gold 2.2 GHz + 6X Kryo 360 Silver 1.7 GHz), 6GB RAM, storan 128GB, 16 MP (Utama), 5MP (Swafoto), 2510 mAh (15W), Android 9.

Harga: RM6131 (6GB RAM + 128GB)

Tempat Kedua – OnePlus 7T / 7T Pro

OnePlus 7T Pro terlepas dari senarai tiga peranti terbaik kerana tidak menyertakan sokongan pengecasan nirwayar dan kemampuan kalis air. Tetapi kami letakkan ia dalam senarai peranti inovatif kerana memulakan trend skrin dengan kadar segar semula 90Hz. Selepas OnePlus memulakan langkah, ASUS, Google, Oppo, Realme dan Nubia menyusul dengan peranti 90Hz mereka yang tersendiri. Dari ura-ura yang didengari, Samsung juga akan turut mengikuti langkah OnePlus tahun ini.

Penggunaan skrin segar semula tinggi dipelopori oleh Razer Phone dengan skrin 120Hz namun tidak mendapat sambutan. Revolusi penggunaan skrin dengan kadar segar semula tinggi ini asal usulnya boleh dilihat dengan pelancaran OnePlus 7T dan 7T Pro tahun ini.

Spesifikasi: 6.55” Fluid AMOLED QHD+ 20:9, Snapdragon 855+ (1X Kryo 485 2.96 GHz + 3X Kryo 485 2.42 GHz + 4X Kryo 485 1.78GHz), 8GB RAM, storan sehingga 256GB, 48+12+16 MP (Utama), 16MP (Swafoto), 3800 mAh (30W), Android 10.

Harga: Dari RM2599 (7T – 8GB RAM + 128GB)

Juara – Samsung Galaxy Fold

Pada awal tahun ini saya ada menulis artikel mengatakan peranti skrin boleh-lipat akan berkubur. Saya mengangkat tangan dan kini mengakui ramalan saya di dalam artikel tersebut adalah kini menyimpang dari pendapat semasa. Selepas mengulas dan menggunakan sendiri Samsung Galaxy Fold selama hampir dua minggu, persepsi kami berubah 180 darjah.

Peranti skrin lipat adalah inovasi terbesar telefon mudah alih sejak pengenalan skrin sesentuh kapasitif. Peranti skrin boleh lipat meningkatkan kemampuan pemilik untuk melakukan kerja ketika di luar pejabat. Membuatkan tontonan video lebih mengasyikkan berbanding skrin biasa dan paling penting sekali akan mengurangkan masalah ketagihan peranti.

Sukar untuk menyatakannya dalam bentuk karangan pendek tetapi sesiapa yang berpeluang menggunakan Fold akan memberitahu anda ia adalah peranti yang akan mengubah dunia. Tidak mengejutkan pada tahun 2020 ini, letusan peranti skrin boleh-lipat di pasaran akan berlaku. Jangan terkejut jika dalam masa lima tahun peranti dengan rekaan ini akan menjadi standard seperti mana skrin 6″ kini digunakan secara meluas sekarang.

Spesifikasi: 7.3”+4.6″ AMOLED, Snapdragon 855 (1X Kryo 485 2.84 GHz + 3X Kryo 485 2.42 GHz + 4X Kryo 485 1.78GHz), 12GB RAM, storan 512GB, 12+12+16 MP (Utama), 10MP (Swafoto), 10+8 MP (Kamera Dalam), 4380 mAh (15W), Android 9.

Harga: RM8388 (8GB RAM + 512GB)


Telefon Paling Gagal

Meizu Zero

Meizu Zero ialah peranti nirport dan nirbutang kawalan fizikal pertama yang diumumkan. Menerusi peranti ini, Meizu ingin memulakan trend baharu yang seperti anda sedia maklum gagal mendapat sambutan. Apabila Meizu Zero ditawarkan menerusi laman Indiegogo, ia gagal mengumpul dana minimum yang diminta. Pada Mac 2019. pengguna masih belum bersedia untuk peranti yang terlalu eksperimental.

Seperti yang dapat dilihat pada HTC U12+, peranti tanpa butang fizikal adalah tidak mesra pengguna. Pada Mate 30 Pro pula keperluan menyentuh skrin terlebih dahulu untuk mengubah tetapan bunyi juga adalah idea yang kurang praktikal. Walaupun projek Meizu Zero gagal, kini kedengaran ura-ura iPhone pula akan hanya menyokong pengecasan nirwayar seawal tahun 2021 manakala Oppo pula memperlihatkan prototaip hampir serupa bulan lalu. Adakah kita akhirnya boleh menerima kewujudan peranti nirlubang dan nirbutang?


Baiklah ini ialah senarai peranti-peranti terbaik, terburuk dan paling inovatif sepanjang 2019. Tahun ini tugas mencari peranti terbaik adalah mencabar memandangkan terdapat terlalu banyak peranti dilancarkan kerana jumlah pengeluar yang meningkat. Kami meramalkan pada tahun 2020 tugas mencari yang terbaik akan terus sukar. Mungkin kami akan mula mengambil undian terbuka bagi mencari peranti pilihan pembaca Amanz. Jumpa ada di penghujung tahun ini untuk peranti terbaik 2020.



Telefon-Telefon Terbaik 2019

Add a Comment

Your email address will not be published.