VIDEO: 40 Detik Gerakan Yang Conor McGregor Lakukan Untuk Musnahkan Cowboy

Hanya 40 saat diperlukan oleh Conor McGregor untuk menewaskan Donald Cerone, sekaligus kembali dengan penuh bergaya dalam arena sukan tempur ini.

Kali ini aksi McGregor cukup sempurna. Gerakan yang ditampilkan cukup tajam, serangan yang padu, dan secara teknikalnya McGregor mengingatkan kembali kepada dunia, siapa dirinya.

Harus tidak dilupakan, UFC 246 ini adalah kemunculan pertama McGregor di gelanggang tempur sejak tewas kepada Khabib Nurgamagomedov kira-kira 15 bulan yang lalu.

Bagi peminat sukan tempur bebas, kekalahan McGregor pada ketika itu mungkin satu lagi hiburan dalam dunia sukan tempur bebas ini.

Namun bagi peninju seperti McGregor, kekalahan sebegitu — dengan isu di luar gelanggan yang menarik lebih banyak tumpuan — adalah perkara yang memalukan.

Tidak keterlaluan jika kita katakan, 15 bulan sebelum ini adalah tempoh yang paling sukar bukan sahaja dari segi latihan fizikal yang beliau perlu harungi, malah juga kekuatan mental yang perlu diambil untuk kembali ke gelanggang.

Senjata ampuh milik “The Notorious”

Buat masa sekarang, serangan dari tangan kiri Cono McGregor dianggap antara senjata paling berbahaya di dalam dunia MMA.

Belum ada lagi corak serangan di dalam kategori featherweight/lightweigt yang menampilkan serangan ‘trademark’ seperti serangan oleh ‘The Notorious’ hanya dengan satu serangan tangan kiri McGregor.

Jose Aldo pernah merasakannya. Dan ia cukup untuk memadamkan kegemilangan ‘sang juara’ yang sebelum itu tidak pernah tewas (145lbs) selama sedekad.

Begitu juga nasib yang menimpa Eddie Alvarez ketika berhadapan dengan McGregor. Alvarez juga merupakan mangsa teknik peninju dari Ireland ini.

Dalam usaha mempertahankan kejuaraan lightweight beliau pada 2016, Alvarez telah tumbang beberapa kali – sebelum tewas dalam pertarungan tersebut.

Conor McGregor vs Donald ‘Cowboy’ Cerone

Hanya 40 saat diperlukan McGregor untuk menewaskan Cowboy Cerone, bermakna peninju dari Ireland itu memakan masa lebih lama untuk persembahan ketika melangkah masuk ke gelanggang.

Berdiri di bawah sinaran cahaya lampu dengan mata tertutup, McGregor mendepakan tangan ketika diumumkan di T-Mobile Arena.

Ketika pertarungan dimulakan, McGregor tidak membuang banyak masa untuk terus melakukan asakan terhadap lawan dari Amerika Syarikat itu.

Cerrone terus mengalami kecederaan di hidung selepas McGregor melakukan ‘shoulder barge’ ke arah kepala lawannya itu.

Kedua-duanya dileraikan, dan Cerrone kemudiannya melepaskan satu head kick. McGregor juga pantas membalas dengan gerakan yang sama, dan menemui sasaran.

Gerakan tersebut diikuti oleh lima serangan menggunakan tangan kiri beliau secara berturut-turut.

Cerrone nyata tiada jawapan untuk McGregor. Pengadil, Herb Dean terpaksa campur tangan menghentikan seketika perlawanan – cukup untuk nenek Cerrone yang menyaksikan dari luar gelanggang untuk menarik nafas lega.

Pengadil kemudiannya memutuskan perlawanan ditamatkan selepas seketika, setelah darah mulai mengalir tanpa henti dari hidung Cerrone – kurang seminit pada pusingan pertama.

Kemenangan tersebut bukan sahaja menandakan kepulangan McGregor di dalam sukan seni tempur bebas ini.

Kemenangan ini turut mencipta sejarah tersendiri kerana buat pertama kali seorang peninju memenangi perlawanan di tiga divisyen berlainan di UFC.

Ia nyata kemenangan yang penuh emosi untuk McGregor yang tampil lebih matang untuk perlawanan ini.

 

Source link
VIDEO: 40 Detik Gerakan Yang Conor McGregor Lakukan Untuk Musnahkan Cowboy

Add a Comment

Your email address will not be published.