VIDEO: Aksi Tenang ‘Maestro’ Messi Gelecek Penjaga Gol, Rekod Kemenangan Ke-500 Di Sepanyol

Lionel Messi cemerlang membantu Barcelona memperolehi kemenangan selesa ke atas Leganese di pertandingan Copa del Rey.

Pada masa sama, Messi turut menghasilkan rekod baharu di bola sepak Sepanyol.

Pemain antarabangsa Argentina itu kini menjadi pemain pertama di dalam sejarah bola sepak Sepanyol yang merekodkan 500 kemenangan – selepas Barcelona membelasah Legenese 5-0.

Tidak beraksi pada pusingan sebelum ini di pertandingan yang sama, Quique Setien kali ini menyenaraikan Messi di dalam kesebelasan utama pasukan.

Gol jaringan Antoine Griesmann dan Clement Lenglet terlebih dahulu memberikan skuad Blaugrana itu pendahuluan selesa pada babak pertama di Nou Camp.

Messi menjadikan kedudukan 3-0 dengan bola terbias pertahanan lawan selepas sejam perlawanan berlangsung, sebelum Arthur melebarkan lagi kedudukan untuk gergasi Catalan itu pada minit ke-77 perlawanan.

Maestro dari Argentina itu menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit akhir perlawanan, dengan merembat deras ke bumbung gawang selepas berjaya menggelecek penjaga gol Leganese.

Keputusan itu membenarkan Messi mencatatkan kemenangan ke-500 dengan jersi Barcelona  – kemenangan terbanyak pernah direkodkan oleh mana-mana individu di bola sepak Sepanyol.

Untuk mencapai rekod itu, Messi mengharungi 710 perlawanan, dan ia tampak akan semakin bertambah dalam beberapa tahun akan datang.

Dua gol tersebut juga bermakna jumlah jaringan keseluruhan Messi musim ini kini adalah 20.

Messi adalah pemenang anugerah Ballon d’Or 2019 yang lalu.

Kejayaan pemain berusia 32 tahun kelahiran Rosario, Argentina itu menyaksikan beliau mencipta rekod sebagai pemain paling banyak menerima gelaran berprestij yang dikelolakan oleh majalah France Football tersebut.

Seperti yang telah diketahui umum, Messi berjaya menewaskan dua pesaing utamanya iaitu Virgil van Dijk dan Cristiano Ronaldo pada majlis yang diadakan di Paris itu.

Selain Barcelona, pasukan lain yang berjaya mara ke suku akhir Copa del Rey adalah Real Madrid, Granada, Villarreal and Real Sociedad.

Setiap pasukan akan mengetahui lawan masing-masing selepas undian pada Jumaat akan datang.

Manakala di saingan La Liga, Barcelona kini ketinggalan satu mata di belakang Real Madrid selepas tewas mengejut kepada Valencia pada hujung minggu lalu.

Kunjungan ke Real Betis dan Getafe enam hari kemudian dilihat oleh Messi dan Barcelona sebagai peluang untuk kembali mengukuhkan cengkaman di pertandingan domestik.

 

 

Source link
VIDEO: Aksi Tenang ‘Maestro’ Messi Gelecek Penjaga Gol, Rekod Kemenangan Ke-500 Di Sepanyol

Add a Comment

Your email address will not be published.