VIDEO: Atlet Dari Telipok, Sabah Muncul Juara Kejohanan Dunia Gusti Lengan

Atlet gusti lengan profesional yang berasal dari Telipok Sabah, Joffey Jolly muncul juara dunia kategori 70kg lelaki senior (tangan kanan) di Kejohanan Dunia Gusti Lengan yang berlangsung di Poland baru-baru ini.

Anak jati kelahiran Telipok itu menewaskan 19 pesaing dari negara lain dalam kategorinya, untuk dikalungkan pingat emas acara tersebut.

Malah kepulangan beliau ke negeri kelahirannya beberapa hari yang lalu mendapat sambutan sebagai wira negara.

Turut hadir menyambut ketibaan Joffey sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kinabalu semalam ialah Ketua Wira Warisan, Jumardie Lukman.

“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada beliau dan keluarga atas kejayaan mengharumkan nama Negeri Sabah khususnya, Malaysia amnya dalam sukan gusti lengan dunia,” katanya.

Banyak pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh Joffey sebelum muncul juara dunia seperti pada hari ini. Antaranya ialah terpaksa berhenti dari bekerja demi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada latihan.

Individu di sebalik kejayaan Joffey tidak lain dan tidak bukan adalah ayahnya sendiri yang tampil selaku jurulatih peribadi kepada anaknya itu.

“Saya sangat bangga dengan dengan kejayaan di Poland. Terima kasih diucapkan kepada pengurus pasukan dan Presiden Persatuan Gusti Lengan Malaysia, Mohd Zil Fadli atas usahanya untuk memastikan pasukan dapat bersaing pada kejohanan itu,” kata Jolly Johnson yang merupakan ayah kepada Joffey yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Gusti Lengan Sabah (Sawa).

“Kejayaan ini membuktikan latihan lima hari seminggu yang kami jalani selama dua bulan tidak sia-sia dan tahniah juga kepada Safuan Asif dan Abigail Kee kerana memenangi perak dan gangsa untuk pasukan,” katanya

Source link
VIDEO: Atlet Dari Telipok, Sabah Muncul Juara Kejohanan Dunia Gusti Lengan

Add a Comment

Your email address will not be published.