(Video) Belasah 'Guard' dengan kayu golf, suspek ditahan


Viral di media sosial klip video seorang lelaki memukul pengawal keselamatan warga Nepal menggunakan kayu golf sehingga menyebabkan kecederaan di Jalan Gombak pada Ahad. Bagaimanapun, suspek berusia 24 tahun itu telah ditahan pada jam 10 malam, Ahad. Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ajad Ismail berkata, siasatan awal mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah lampau yang membabitkan dadah. Dalam kejadian yang berlaku pada jam 1.30 petang Ahad, suspek meletakkan keretanya jenis Honda Jazz di ruang parkir Orang Kurang Upaya (OKU).Di atas kesalahan itu, mangsa datang dan mengunci tayar kereta suspek.Berang dengan perkara itu, suspek bersama dengan rakannya datang memarahi mangsa dan mengarahkan dia membuka kunci tayar tersebut, tetapi mangsa meminta suspek membayar denda terlebih dahulu di pejabat pengurusan. Tidak berpuas hati, suspek dan rakannya cuba merosakkan kunci tayar itu sebelum gagal mengawal diri lalu menumbuk dan memukul mangsa menggunakan kayu golf sehingga menyebabkan mangsa mengalami luka di bahagian lengan dan telinga kanan. Pergelutan suspek dengan mangsa bagaimanapun dileraikan oleh rakan suspek. Sementara itu, mangsa yang mengalami kecederaan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. Sumber: Astro Awani

Add a Comment

Your email address will not be published.