VIDEO: Gol ‘Jahat’ Oxlade-Chamberlain Bantu Liverpool Belasah Southampton

Gol ‘jahat’ Alex Oxlade-Chamberlain pada minit ke-47 perlawanan memulakan pesta jaringan buat Liverpool yang membelasah Southampton.

Sebelum gol itu, babak pertama perlawanan menyaksikan Southampton menghadirkan beberapa situasi mendebarkan di hadapan gawang pasukan tuan rumah.

Dalam aksi yang berlangsung di Anfield semalam, Liverpool mencatatkan kemenangan mudah 4-0. Kesemua gol mereka terhasil pada separuh masa kedua.

Chamberlain yang berjaya membuka ruang untuk dirinya dengan larian ke dalam seolah-olah akan melepaskan satu ‘curling’ shot.

Atau setidak-tidaknya, Chamberlain dijangka akan melepaskan rembatan terus.

Menyedari kekosongan di sebelah kanan penjaga gol lawan, bekas pemain Arsenal itu tanpa dijangka-jangka mengubah haluan percubaan beliau, sekaligus mematikan langkah penjaga gol.

Ia boleh dianggap gol yang bijak dan tenang dari Chamberlain dalam situasi tersebut.

Southampton memiliki banyak peluang dalam perlawanan ini. Danny Ings menampilkan kualiti yang sangat baik dan banyak mencipta peluang gol.

Namun sayangnya gandingan beliau dan Shane Long agak tumpul semalam.

Kegagalan Southampton mendapatkan gol juga adalah kerana kehadiran Alisson yang membuktikan kualiti beliau sebagai penjaga gol terbaik dunia ketika ini.

Babak kedua perlawanan menampilkan kisah lain, tatkala Liverpool mulai membina momentum melalui Alex Oxlade Chamberlain.

Bekas pemain Arsenal itu memecahkan kebuntuan buat Liverpool sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung.

Kapten Liverpool, Jordan Henderson meletakkan pasukannya dua gol di hadapan pada minit ke-60, selepas pemain England itu menyempurnakan umpanan yang cantik daripada Roberto Firmino.

Kemudian baki perlawanan selepas itu menjadi milik pemain antarabanga Mesir, Mohamed Salah.

Selepas mencatatkan nama sebagai penjaring, Jordan Henderson kemudian mencipta gol untuk Mohamed Salah.

Pemain Mesir itu dengan tangkas menyungkit mudah bola melepasi Alex McCarthy pada minit ke-71 perlawanan untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Minit ke-90 perlawanan menyaksikan hantaran Roberto Firmino turut disudahkan oleh Mohamed Salah dalam situasi yang agak kelam kabut.

Tetapi ia sudah cukup untuk Salah menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini.

Malang sekali sebelum itu dua peluang gol yang Salah cipta gagal disudahkan oleh rakan sepasukan, Roberto Firmino dan Takumi Minamino.

Kemenangan ini bermakna Liverpool kini semakin selesa dengan kelebihan 22 mata di kemuncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas bergelar juara Eropah dan juara dunia, kini Liverpool bagaikan hanya menanti saatnya untuk diangkat selaku juara England.

Ia pasti manis kerana mampu menamatkan kemarau yang berusia 30 tahun lamanya.

Source link
VIDEO: Gol ‘Jahat’ Oxlade-Chamberlain Bantu Liverpool Belasah Southampton

Add a Comment

Your email address will not be published.