VIDEO: Prinsip Gerakan Seorang ‘Lone Striker’ Seperti Haaland

Selepas hanya dua perlawanan, Erling Braut Haaland telah menjaringkan lima gol sejak di saingan Bundesliga.

Pemain Norway itu menyertai Borussia Dortmund pada jendela perpindahan Januari ini selepas menolak tawaran untuk menyertai Juventus dan Manchester United.

Tampil sebagai pemain gantian menentang Augsburg pada minggu lalu dan menghasilkan hatrik, anak kepada bekas pemain Leeds United, Alf Inge terus menyerlah dengan dua lagi gol pada hujung minggu lalu.

Dalam perlawanan menentang FC Koln, Haaland menjaringkan dua gol.

Tetapi gol kedua beliau menarik perhatian Grandstand Kita. Ia menampilkan kebijaksanaan Haaland sebagai penyerang tunggal dalam pasukan Dortmund.

Sistem permainan Borussia Dortmund

Sebelum kita pergi lebih jauh, kita harus tahu Dortmund di bawah kendalian Lucien Fevre gemar beraksi dengan sistem 3-4-3.

Jadon Sancho, Marco Reus dan Mario Gotze adalah antara pemain yang sering kali beraksi di sekeliling penyerang utama, selain daripada Thorgan Hazard.

Thomas Delaney atau Axel Witsel adalah pemain yang sering menjadi pilihan Fevre di posisi pertahanan tengah.

Permainan kemudian bertukar dari transisi bertahan kepada serangan dengan pantas – mengambil kira jenis pemain yang mempunyai kelajuan di dalam pasukan Dortmund.

Apa itu offensive runs?

Di dalam bola sepak, larian sebegini disebut attacking runs ataupun offensive runs.

Kawalan pemain ataupun marking adalah aspek yang semakin kompleks di dalam taktikal bola sepak. Untuk melepasi kawalan ini, pelbagai cara harus dilakukan oleh seorang penyerang.

Salah satu cara yang berkesan adalah melakukan larian ‘tanpa bola’ (off the ball) yang berkesan.

Penyerang yang bijak akan berupaya berlari ke satu kawasan dengan tanpa bola di kaki. Akhirnya mereka menemui titik yang tepat untuk ‘menemui’ ataupun menerima bola.

Kadang-kadang, mereka akan menggunakan larian ringan (low pace) seperti jogging  dan walking pace untuk mengalihkan perhatian pemain pertahanan lawan.

Kaedah ini membantu mereka mewujudkan ruang dan peluang kepada rakan sepasukan.

Perhatikan jaringan Haaland vs FC Koln

Perhatikan jaringan yang dihasilkan oleh Haaland ketika menentang FC Koln.

Melalui video ini kita dapat melihat bagaimana sistem permainan Dortmund dipraktikkan.

Ia juga menunjukkan kualiti yang dimiliki oleh Haaland untuk mengadaptasi dirinya dengan corak permainan yang diterapkan oleh Fevre.

Ketika Dortmund memenangi bola dan sedang mengerakkan bola ke hadapan, Haaland menggunakan orientasi tubuh badan untuk mengelirukan pertahanan lawan.

Pada fasa ini, Haaland dilihat oleh lawan sebagai bukan ancaman. Perhatikan juga bagaimana beliau mengawal rentak larian.

Pada ketika ini , scanning turut kerap dilakukan oleh Haaland untuk memastikan beliau mempunyai ruang yang cukup untuk bertindak.

Pada ketika dan masa yang sesuai, akhirnya Haaland menyerang ruang di hadapan yang sebenarnya telah beliau cipta sendiri – selepas melalaikan lawan.

Hasilnya, ia adalah gol yang cantik – walaupun sedikit elemen nasib turut ada kerana jaringan dari sudut yang sukar.

Rumusan

Sebagai penyerang tunggal, anda bukan sahaja perlu menjadi pemain yang klinikal di hadapan gol.

Kualiti seorang penyerang tunggal juga dilihat ketika terlibat di dalam melakukan gerakan. Begitu juga dengan off the ball running, bagaimana melakukan orientasi badan, dan menyerang ruang yang betul ketika diperlukan.

Source link
VIDEO: Prinsip Gerakan Seorang ‘Lone Striker’ Seperti Haaland

Add a Comment

Your email address will not be published.