VIDEO: Throwback “From Doubters To Believers”, Klopp Pernah Ramal Liverpool Bakal Juarai EPL 2019/20

Liverpool kini berada di ladasan untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak 30 tahun yang lalu.

Skuad Jurgen Klopp kini memerlukan hanya enam kemenangan sahaja lagi untuk mengecapi kejuaraan liga di era Premier League.

Untuk itu, penyokong The Reds di seluruh dunia harus berterima kasih kepada pengendali dari Jerman, Jurgen Klopp untuk memungkinkannya.

Klopp dilantik sebagai pengganti Brendan Rodgers pada Oktober 2015. Perlawanan pertama Liverpool kendalian Klopp berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di White Hart Lane.

Ramai yang skeptikal akan tiba masanya Liverpool kembali gagah dalam bola sepak Inggeris, walaupun Klopp mempunyai rekod hebat bersama Borussia Dortmund di Bundesliga.

Ia bukannya impak segera seperti yang ramai harapkan dalam perlawanan di White Hart Lane.

The Normal One

Sebelum itu, Klopp terpaksa memperkenalkan dirinya sebagau “The Normal One”.

Tidak ada kemegahan seperti ditampilkan oleh Jose Mourinho pada sesi pengenalan kepada media 4 tahun lalu.

Reputasinya bersama Dortmund sebelum itu sudah cukup mengujakan ramai pihak.

Namun Klopp sedar akan satu perkara. Liverpool mempunyai perjalanan yang jauh untuk memahatkan kembali kelab tersebut sebagai sebuah kelab dominan di England dan Eropah.

Realitinya ada banyak kerja perlu dilakukan, dan ianya jelas ia bukan pekerjaan satu malam untuk membangunkan kembali kelab seperti Liverpool.

Pada musim pertama tersebut, Liverpool menamatkan saingan EPL di kedudukan ke-8.

Dua musim berikutnya di kedudukan ke-4, dan pada musim lalu, hanya dibezakan satu mata dari sang juara, Manchester City.

Di dalam tempoh 4 tahun itu juga, dua perlawanan akhir Champions League – dan satu kejuaraan eropah – turut dikecapi.

Sepanjang tempoh itu, tidak pernah ada keraguan lagi bahawa Klopp adalah individu tepat persis ‘Messiah’ yang dinanti-nantikan selama ini oleh Liverpool.

Ramalan Klopp

Kejayaan di Eropah mungkin tiba lebih awal di Anfield. Tetapi ia bukannya perkara yang menghairankan. Mereka telah melakukannya sebanyak lima kali sebelum itu.

Namun demikian kejuaraan ke-6 itu menjadi kejayaan yang bermakna buat skuad kendalian Klopp kerana ia turut membantu mereka membina momentum yang dikehendaki di saingan domestik.

Kini Liverpool di ambang kejuaraan yang mereka impikan selama 30 tahun ini. Dan perkara itu sebenarnya pernah diramal oleh Klopp 4 tahun lalu, yang membawa kita semua ke musim ini.

“Malam tadi kami telah menandatangani kontrak, dan saya bangun dari lena pada pagi ini sebagai pengurus Liverpool FC,” ujar Klopp kepada wartawan.

“Berikan kami masa untuk bekerja. Apabila saya duduk di sini di dalam tempoh empat tahun, saya berpendapat [yakin] akan ada satu kejuaraan [EPL] pada masa itu.

“Jika tidak [muncul juara], mungkin saya akan memenanginya di Switzerland!”

“If not maybe [I’ll win] the next one in Switzerland!”

Klopp turut menyifatkan 25 tahun [pada ketika itu] kali terakhir bergelar juara adalah tempoh yang lama.

Namun bagi beliau Liverpool tidak seharusnya terus menggendong atau mengenang sejarah itu sampai bila-bila.

“[Apabila mula berlatih] saya mahu melihat langkah pertama yang akan diambil pada minggu hadapan, dan enggan membandingkan dengan masa silam.

“Ini adalah kelab yang hebat penuh dengan potensi. Segalanya ada di sini. Kerana itu, ayuh kita mulakan dengan cara baru.”

Rumusan

Kebetulan atau tidak, ramalan Klopp nampaknya bakal menjadi kenyataan.

Penyokong atau lawan, tidak dapat dinafikan ini adalah skuad terhebat Liverpool yang pernah bola sepak saksikan.

The Reds telah menawan eropah dan dunia.

Kini tiba masanya mereka mengira detik untuk mengakhiri penantian yang paling didambakan – iaitu kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang pertama.

Source link
VIDEO: Throwback “From Doubters To Believers”, Klopp Pernah Ramal Liverpool Bakal Juarai EPL 2019/20

Add a Comment

Your email address will not be published.